The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Lancar Jersi Away 2021 Dengan Konsep Futuristik

Mar 01, 2021 - FAS

Persiapan Selangor FC (SFC) terus berlangsung setelah Red Giants hari ini melancarkan jersi Away bagi musim 2021 secara digital di semua platform media sosial mereka.

Pelancaran jersi ini adalah pelancaran jersi kedua musim ini setelah jersi Home bagi musim ini telah pun dilancarkan pada 1 Februari yang lalu.

Hadir dengan warna asas biru gelap dan disertakan dengan corak berwarna biru neon, jersi ini direka dengan menyuntik unsur progresif dan adunan jati diri kelab yang berteraskan motif setiap daerah di Selangor.

Dari segi pemilihan warna, warna biru gelap melambangkan kesepaduan rakyat Selangor yang bersatu dalam memberi sokongan padu kepada pasukan Gergasi Merah, manakala warna biru neon pula merupakan simbolik kepada pembaharuan untuk masa depan yang ingin dicorakkan oleh pasukan ini.

Tampil dengan nafas baru, logo 3D Selangor FC yang ditekap pada jersi Away 2021 ini juga turut diubah kepada warna biru gelap dan biru neon untuk menepati tema warna dan simbolik kepada keterbukaan kelab untuk berevolusi mengikut peredaran zaman.

Selain itu, jersi ini juga dipadankan dengan motif peta negeri Selangor yang menekankan reka bentuk 9 daerah dalam negeri ini yang merupakan tulang belakang pasukan ini. Warna merah kuning juga dicetak dan disematkan dengan jelas pada bahagian belakang kolar jersi ini.

Untuk rekod, warna biru gelap sering kali menjadi warna jersi Away untuk pasukan Selangor. Sebagai contoh, jersi berwarna biru gelap kali terakhir pada musim 2018, selain pernah digunakan sejak sekitar tahun 1980an lagi.

Konsep ini nyata berbeza dengan unsur retro yang diketengahkan oleh jersi Home yang dilancarkan sebelum ini dan ia seolah-olah memberikan lembaran yang baharu kepada pasukan Selangor yang baru sahaja melalui penstukturan semula yang menyeluruh pada musim 2019.

Suntikan elemen moden ini sebenarnya simbolik kepada DNA baharu SFC yang sedang dibangunkan bagi membina sebuah pasukan yang mampan dengan usaha melahirkan dan mengetengahkan pemain muda untuk Selangor. Ini termasuk program pembangunan bola sepak akar umbi dalam mengasah dan memberi peluang kepada bakat-bakat muda bola sepak sambil menerapkan acuan falsafah bola sepak Selangor.

DNA baharu bola sepak Selangor FC adalah elemen terpenting yang membentuk falsafah, budaya dan arah tuju kelab ini, dengan matlamat untuk memastikan kelestarian pasukan Gergasi Merah di semua peringkat.

Ia merupakan aspirasi yang mahu direalisasikan oleh pemilik SFC, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahukan rangka DNA ini bukan sahaja meliputi aspek bola sepak professional,  malah turut dipanjangkan kepada peringkat akar umbi melalui piramid bola sepak di negeri ini, termasuklah dengan kerjasama sekolah-sekolah, akademi swasta dan kelab bola sepak komuniti demi memastikan ia berlangsung secara menyeluruh dan memberi manafaat kepada semua penggiat bola sepak di seluruh negeri Selangor.

Pemerkasaan ini dilihat sebagai satu proses jangka masa panjang yang dilihat akan memberi impak dan nafas baharu kepada bola sepak Selangor dalam beberapa tahun lagi. Selain itu, usaha ini turut diperkukuhkan dengan struktur pengkomersialan pasukan untuk membuka jalan bagi pasukan ini berdiri di atas kaki sendiri di masa hadapan.

Selangor FC yakin bahawa inisiatif ini dilihat mampu untuk membawa hasil dalam masa beberapa tahun lagi setelah ianya diguna pakai di semua peringkat bola sepak Selangor.

Lebih menarik, jersi ini juga dilengkapi dengan kod QR istimewa di mana pemilik bakal mendapat akses kepada konten-konten ekslusif yang tidak ditawarkan kepada pihak umum. Sebagai permulaan, pembeli jersi ini bakal diberikan akses untuk memuat turun wallpaper ekslusif sempena pelancaran jersi ini.

Selain itu, seperti jersi Home 2021, jersi away ini turut disematkan dengan riben bertulisan “85 Years Creating A Legacy” pada bahagian belakang kolar, selari dengan DNA pasukan yang ingin terus melahirkan bakat-bakat baru di samping mewujudkan 'winning mentality' dikalangan pemain dan pengurusan.

Pihak pengurusan Selangor FC berharap jersi Away musim 2021 yang bertemakan kesepaduan rakyat Selangor serta unsur moden ini dapat membawa aura kejuaraan serta meniup semangat perjuangan yang tinggi kepada semua pemegang taruh Selangor FC dalam misi memburu kejayaan pada tahun ini.

Jersi Away baharu ini kini boleh dibeli di SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain. Penyokong Selangor yang berdaftar sebagai pemegang Red Giants Team Card 2021 pula akan menerima diskaun sebanyak 10% untuk setiap pembelian jersi pada tahun ini.

Demi kebanggaan!